BERJUANG TERUS BERJUANG

BERJUANG TERUS BERJUANG

Sejarah Pasukan

Batalion Kedua Puluh Dua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan ekoran dari penghijrahan secara besar-besaran pendatang dari Vietnam akibat dari peperangan. Kemasukan pendatang Vietnam ini dikhuatiri berlaku penyusupan oleh pengganas komunis yang menyelinap masuk bersama-sama pendatang.

Batalion ini ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga berikutan arahan kerajaan untuk membuat penambahan serta merta anggota pasukan keselamatan khususnya Tentera Darat (PRISTA) sebagai usaha untuk membendung ancaman Pengganas Komunis. Batalion ini telah ditubuhkan pada 1 Jan 1979 melalui arahan penubuhan yang bernombor FED(M)/3000/6/72 yang dikeluarkan oleh Cawangan Rancangan Tentera Darat dengan nama rasminya “ Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja”. Penubuhan ini telah dibuat dengan rasminya di Jabatan Arah Infantri, Kementerian Pertahanan. Arahan penubuhan tersebut telah ditandatangani oleh Leftenan Kolonel Suleiman bin Kudus.

Pada 15 Feb 1979, Batalion ini telah ditempatkan di Kem Wade Wing, KEMENTAH, Kuala Lumpur sebagai perintis pembentukan dengan kekuatan dua orang pegawai sahaja. Pegawai yang berkenaan ialah Leftenan Kolonel Hashim bin Mohamad Amin dan Leftenan (KM) Yusof bin Ahmad. Pada 3 Mac 1979 kekuatan Batalion telah bertambah kepada 4 orang apabila menerima SMR pertama iaitu 14122 PW 1 Supian bin Hj Ibrahim dan Ketua Kerani pertama iaitu 14461 SSjn Mansor bin Haji Mahadi.

Pada 22 Mac 1979, Sel Latihan telah ditubuhkan dan telah menerima rekrut pertama seramai 34 orang pada 23 Sep 1979. Sejak itu, kekuatan batalion ini mula bertambah sehingga diisytiharkan mencapai taraf operasi pada 08 Mei 1980. Batalion mula melaksanakan operasinya yang pertama iaitu ‘Operasi Bamboo’ di kawasan Kubu Gob, Kedah pada akhir Mei 1980.

Pada 15 April 1999, Batalion ini dengan rasminya telah ditukarkan dari organisasi Batalion biasa kepada Batalion Infantri Standard (BIS). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah ketika itu, Lt Kol Fadzil Bin Mokhtar atas kuasa penubuhan BIS/FED/30000/1/98 di Kem Rasah Seremban Negeri Sembilan. Ketika itu pasukan berkekuatan 20 pegawai dan 375 anggota lain-lain pangkat.

No comments:

Post a Comment