BERJUANG TERUS BERJUANG

BERJUANG TERUS BERJUANG

Sumbangan dan Peristiwa Bersejarah Pasukan

1. SUMBANGAN

Sepanjang tempoh perkhidmatan, batalion ini telah berjaya menjalankan operasi melawan insurgensi yang bermula dengan Operasi Bamboo pada akhir Mei 1980 setelah batalion ini mendapat pengisytiharan mencapai taraf operasi pada awal Mei 1980.

Operasi-operasi yang telah dijalankan oleh pasukan sepanjang perkhidmatan sebelum berpindah ke Kem Sri Kinabatangan, Sandakan pada tahun 2000 ialah Operasi Sedar Gubir, Operasi 8903 Bravo, Operasi Kota Echo, Operasi Khas Sedar Lenggong 5/82, Operasi Sandakan, Operasi Kapak Pantai 3, Operasi Jala Aman, Operasi Ulu Perak, Operasi Kota Echo Sg Kenabong, Operasi Kota Echo Pegkalan Hulu 6/88, Operasi Paksi Setia, Operasi PIPI, dan Operasi Merpati.

Antara kejayaan pasukan ini di dalam operasi adalah penemuan jerangkap samar, kem-kem sementara komunis dan penemuan tempat simpanan makanan. Pasukan juga berjaya menangkap Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang baru mendarat semasa Operasi Merpati.

Sepanjang tujuh tahun berkhidmat di Sabah, pasukan ini terlibat dalam tugas Operasi Pasir/ Balasah di mana banyak kejayaan dalam membenteras kemasukkan kumpulan bersenjata, lanun, penyeludupan, serta Tentera Negara Asing yang memasuki perairan dan kawasan tanggungjawab Negeri Sabah.

Pasukan juga terlibat secara langsung semasa pencerobohan Pengganas Sulu keatas Sabah pada Mac 2013 serta pasukan terlibat di dalam operasi menyelamat anggota polis yang terselamat semasa peristiwa berdarah di Kampung Simunul, Semporna Sabah. 

2. PERISTIWA SERANG HENDAP ULU LENGGONG

Berpandukan catatan sejarah yang sedia ada, Batalion ini telah diuji ketabahan dan semangat anggotanya iaitu semasa menjalankan tugas di Klian Intan dalam Operasi 803 Bravo. Dalam operasi ini kejadian jerangkap samar yang pertama telah menimpa 30515 Lkpl Suparman bin Taib pada 14 Mac 1981. Akibat dari kejadian tersebut LKpl Suparman telah dipotong kakinya di bahagian buku lali ke bawah.

Kejadian ini boleh dianggap sebagai satu petanda kepada peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong. Peristiwa serang hendap Ulu Lenggong berlaku ketika batalion menjalankan Operasi Sedar Gubir untuk kedua kalinya. Kejadian ini berlaku pada 29 Okt 1981 pada jam lebih kurang 10 pagi apabila 9 orang anggota dari Kompeni Bravo yang berpengkalan di Markas Tek Ulu Lenggong bergerak keluar untuk mengambil bekalan makanan.

Sewaktu dalam perjalanan kenderaan Volvo 2 Ton Mortar yang sedang membawa anggota tersebut telah diserang hendap oleh pengganas komunis yang dianggarkan berkekuatan seramai 25 orang. Dalam kejadian tersebut didapati Penganas komunis telah menggunakan M 79 untuk memusnahkan enjin kenderaan untuk di berhentikan secara serta merta. Serang hendap ini telah mengorbankan 7 orang perwira 22 RAMD dan mencederakan 2 anggota. Selain daripada itu sebanyak 9 laras M 16, 45 kelopak dan 1050 peluru 5.56mm telah dirampas oleh penganas.

Sepanjang penubuhannya batalion ini telah mengharungi pelbagai dugaan sejak dari awal lagi. Namun berlandaskan prestasi semasa pencapaian batalion ini boleh dibanggakan. Kejadian serang hendap Ulu Lengong adalah merupakan detik hitam dalam sejarah batalion dan haruslah dijadikan iktibar dan inspirasi oleh semua peringkat anggota sebagai azimat untuk mempertingkatkan semangat juang dalam diri masing-masing dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment